Latar belakang Abdullah_bin_Ahmad_Badawi

Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk belajar Pengajian Islam.[2] Selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.[3][4][5][6][7]

Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.[8]

Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.

Beliau dikatakan mementingkan menikmati makan malam bersama keluarga dan gemar makanan Jepun. Sebagai seseorang yang dibesarkan di Pulau Pinang, beliau amat gemar mencuba pelbagai jenis makanan.

Setiap hari, selepas sembahyang Maghrib, beliau akan mengaji Al-Quran. Adalah menjadi kebiasaan beliau menulis nota dalam Jawi. Karangan Shakespeare kegemaran beliau ialah Julius Caesar. Selain dari keluarga sendiri, tokoh yang banyak mempengaruhinya, yang beliau anggap sebagai mentor ialah Tun Abdul Razak.

Abdullah Badawi sendiri pernah menulis sebuah Puisi "Ku Cari Damai Abadi" yang mendapat sambutan baik daripada para sasterawan Malaysia dan diterjemahkan ke lebih daripada 80 bahasa dunia (projek Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev). Dinsman dalam prakata kepada buku terjemahan puisi itu menulis: '... Puisi itu pun sebuah puisi yang baik mutunya. Dalam hanya beberapa untaian kata, dengan ungkapan-ungkapan yang bernas, ia berhasil menyampaikan mesej dan makna yang besar, mendalam, luas lagi suci.'[9]

Kulit Buku 'Ku Cari Damai Abadi'

Antara peristiwa dunia yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri beliau ialah peristiwa 9/11, yang telah mendorong beliau untuk memperjuangkan fahaman Islam yang sederhana. Beliau juga adalah pencetus Islam Hadhari.[10]

Beliau juga sangat berminat dengan kereta. Malangnya beliau tidak banyak berpeluang memandu kereta sendiri atas sebab-sebab keselamatan. Untuk menghilangkan lelah bekerja, beliau mungkin bermain golf, melakukan senaman atau meluangkan masa bersama cucu-cucunya. Abdullah juga gemarkan pertunjukan muzikal – My Fair Lady antara yang paling diminatinya – serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau juga mempunyai alat iPod Nano. Beliau menghargai hasil seni Malaysia, dan merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu, serta anyaman rotan.

Rujukan

WikiPedia: Abdullah_bin_Ahmad_Badawi http://radaris.asia/p/Su/Chiang/ http://anwaribrahimblog.com/2008/01/29/daya-saing-... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www-cgi.cnn.com/ASIANOW/asiaweek/99/0122/cs... http://www.malaysiakini.com/news/130661 http://www.malaysiakini.com/news/130664 http://www.malaysiakini.com/news/74591 http://pgoh13.com/pm_chinese.html http://comment.straitstimes.com/showthread.php?t=1...